Saturday 12 July 2014

Kawasan Larangan Merokok

Saya bersetuju dengan keputusan Kementerian Kesihatan untuk mewartakan kesemua kawasan tertutup kawasan rehat dan rawat (R&R) semua lebuh raya termasuk kawasan berbumbung, termasuk tempat makan, tandas dan kawasan rehat, kerana ia mampu menghalang perokok terus merokok demi membina sebuah masyarakat yang sihat.

Setakat ini, kawasan-kawasan yang dilarang merokok termasuk pusat hiburan terbuka, hospital atau klinik, restoran yang berhawa dingin, kenderaan awam, stesen atau lapangan terbang, bangunan yang diwartakan oleh kerajaan, kesemua bangunan kepunyaan kerajaan, bangunan yang digunakan untuk aktiviti perhimpunan, termasuk kawasan untuk pengajian pendidikan, pusat penjagaan kanak-kanak dan bas sekolah.

Menurut kajian GATS (Global Adult Tobacco Survey) di Malaysia pada tahun 2011, lebih 4.7 juta orang dewasa atau 23.1 % rakyat Malaysia adalah perokok. Ada perokok mula merokok swawal-awal 12 tahun, dan perokok wanita juga semakin meningkat. Oleh itu, adalah harapan penambahan kawasan larangan merokok dijangka dapat membantu mengurangkan bilangan perokok.

Selain dari masalah kesihatan, ketagihan rokok juga membebankan ekonomi seseorang atau meningkat kos perbelanjaan sara hidup keluarga. Sebagai contohnya, jika pendapatan bulanan seseorang perokok adalah RM2000, jika beliau belanja RM12 untuk menghisap sekotak rokok yang mengandungi 20 batang rokok, maka dalam sebulan, ia akan membelanja lebih RM 360 atau 20% pendapatannya untuk menghisap rokok.

Jika menghisap rokok menyebab kuasa ekonomi keluarga menurun, maka ia akan mencetus isu lain seperti masalah pendidikan anak-anak mereka. Kesan domino dari merokok ini perlu diambil prihatin dan lebih berwaspada.

Merokok merupakan pembunuh nombor satu kesihatan manusia, ia bukan saja memberi kesan kepada perokok malah memberi kesan negative kepada orang yang tidak merokok di sekeliling mereka. Oleh itu, dasar memperluaskan kawasan larangan dijangka akan memberi kesan positif kepada masyarakat.

Oleh kerana Kementerian Kesihatan merupakan badan yang akan menguatkan kuasa dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang merokok, maka Kementerian Kesihatan perlu memastikan pengawai penguatkuasa melaksanakan tugas mereka dengan baik. Jangan cakap tak serupa bikin, dan akhirnya dasar yang bagus pula menjadi tidak berkesan kerana pelaksanaan.

Pengawai penguatkuasa perlu jujur dan telus sewaktu menjalankan tugas agar menyakinkan rakyat dan meningkat keberkesanan undang-undang ini.

Selain itu, saya juga ingin memesan kepada perokok, jika mereka merokok di kawasan larangan, kompaun yang dikenakan tidak kurang dari RM250 tetapi tidak melebihi RM 500. Jika mereka enggan membayar kompaun tersebut, mereka boleh dihadap ke mahkamah dan didenda sehingga RM10, 000 atau dipenjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Oleh itu, saya menasihati semua perokok sudah sampai masa untuk berhenti merokok.

No comments:

Post a Comment