Monday 24 June 2013

pengguna internet perlu lebih berwaspada sewaktu membuat ulasan di internet


Setelah pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menjalani siasatan terhadap suspek menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman Facebook, ia mengingatkan pengguna internet terutamanya laman social perlu lebih berwaspada sewaktu membuat ulasan di internet. Ini adalah kerana walaupun internet mempunyai kebebasan bersuara, tetapi ia masih dalam pengawasan undang-undang, dan tiada siapa dibenarkan menyuarakan kenyataan dengan sewenang-wenangnya.

Internet umpama bagai lebuhraya, dimana jika kita mematuhi undang-undang, tidak menyalahi had laju, tidak langgar  peraturan dan tidak menjejas keselamatan orang lain, maka kita diberi 100% kebebasan untuk memandu di lebuhraya.

Walau bagaimanapun, jika kita mengabaikan keselamatan orang lain sewaktu memandu di lebuhraya, seperti memecut sesuka hati , melanggar undang-undang trafik, maka kita akan diambil tindakan. Oleh itu, sebagai pengguna internet yang bertanggungjawab, kita tidak harus bertindak bagai  “ pemandu tanpa lessen” yang tidak mengetahui peraturan lalu lintas, memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.

Perlembagaan Negara menjamin setiap orang mempunyai kebebasan bersuara, tetapi kebebasan individu tidak harus menjejas hak kepentingan orang ramai, Negara dan keharmonian masyarakat. Apa yang lagi penting ialah meroboh adalah senang dari membina.  Oleh itu rakyat harus menghargai asas pembinaan  yang dibina dari titik peluh dan korbanan nenek moyang kita , contohnya perpaduan antara kaum dan keharmonian negara.

Kita harus ketahui, setakat ini bukan Malaysia saja yang mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat kenyataan tidak bertanggungjawab di laman social, malah Amerika Syarikat yang melambangkan kebebasan dan demokrasi juga memantau internet, agar mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahguna internet dan menjejaskan ketenteraman Negara.

Saya bercadang, pihak sekolah dan ibubapa harus mengingatkan pelajar-pelajar atau anak-anak tidak terlalu percayai berita daripada internet. Mereka harus berwaspada dan pintar untuk menapis berita daripada internet  dan tidak terlalu percaya kepada berita internet.

 Internet membuka dunia tanpa sempadan, tetapi ia tidak bermakna tiada undang-undang untuk mengawal aktiviti internet. Sesiapa yang terlibat hasutan, fitnah, jenayah dan sebagainya,  mereka akan diambil  tindakan.   Pelajar-pelajar harus menggunakn internet untuk mencari pengetahuan dan mencari informasi untuk pendidikan mereka dan bukan untuk umpatan atau fitnah menfitnah orang lain. Internet digunakan dengan cara yang betul, ianya boleh mendatangkan banyak manfaat.

Kesimpulannya, apa yang paling penting ialah sewaktu menggunakan internet, jangan percaya bulat-bulat apa yang disebar dalam internet. Jangan mudah  dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sehingga dihasut dan mencetus  kebencian  yang  boleh  menggugat keamanan dan keharmonian yang telah sekian lama dikecapi oleh Negara kita.

No comments:

Post a Comment