Thursday 27 November 2014

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (“PTPTN”)

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (“PTPTN”)

Sebagai aktivis pendidikan yang telah banyak menganjurkan program pendidikan melalui Yayasan Pendidikan Kawasan Bandar Tun Razak untuk membantu pelajar-pelajar yang berasal dari keluarga yang kurang berada, saya berasa amat sedih dan terkilan apabila mendapati Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (“PTPTN”) telah mengambil langkah mengurangkan amaun pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (“IPTA”) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (“IPTS’).  Ini akan membebankan para pelajar dan ibubapa.  Saya tidak bersetuju dengan langkah yang diambil oleh PTPTN kerana :

1) Kos sara hidup semakin tinggi dan harga barangan semakin naik apabila kerajaan mengambil langkah menarik balik subsidi barangan, seperti petrol.  Ini telah menyebabkan kadar inflasi naik sehingga 3.5% pada tahun 2014. Impak penarikan subsidi masih dirasai oleh Rakyat.  Khususnya Rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

2) Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal berkuatkuasa pada 1 April 2015 akan mengakibatkan kenaikan kadar inflasi kepada 4%-4.5%.  Seterusnya, kos sara hidup semakin tinggi serta memberi kesan kepada penyusutan kuasa beli dikalangan pengguna/rakyat (“reduce people purchasing power”).  Secara rasionalnya, kadar inflasi pada tahun 2014 dan tahun 2015 apabila dicampurkan boleh menjangkaui lingkungan 8%.  Ini amat membebankan Rakyat, khususnya pelajar-pelajar yang baru diterima masuk ke IPTA dan IPTS.

3) Disebabkan oleh peminjam yang ingkar membayar balik pinjaman kepada PTPTN, maka amatlah tidak adil sekiranya perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dipikul oleh bakal pelajar-pelajar insitut pengajian tinggi.  Ini adalah tidak patut dan adil serta memberikan contoh yang tidak baik kepada generasi akan datang.  Orang yang tidak bersalah  harus menanggung/beban dan denda pesalah.


4) Peminjam PTPTN adalah kebanyakannya berasal dari keluarga yang kurang berada atau berpendapatan sederhana rendah.  Oleh itu,  PTPTN harus membantu pelajar-pelajar ini dan bukan menindas mereka.

5) Pengurangan pinjaman PTPTN adalah bertentangan dengan polisi k-ekonomi Negara yang berasaskan pengetahuan ke arah mencapai status Negara maju.  Kita harus menggalakkan lebih banyak pelajar-pelajar mendapat pendidikan tinggi untuk meningkatkan daya saing dan harta intelek Negara serta melahirkan satu masyarakat yang berilmu.

6) Jika PTPTN kekurangan dana untuk meneruskan dan/atau menetapkan amaun pinjaman kepada pelajar-pelajar, PTPTN harus mendapatkan lebih peruntukan dari Kementerian Kewangan.  Selain daripada itu,  PTPTN juga boleh mendapat atau meminta bantuan dari EPF atau Petronas supaya skim pinjaman pendidikan diteruskan tanpa apa-apa pengurungan.  Kita harus beri pendidikan kepada anak-anak kita dan pastikan mereka memperolehi pendidikan yang setinggi-tingginya.  Mereka adalah harapan kita dan Negara.

Tambahan, PTPTN juga boleh mengadakan Kempen Buka Akuan PTPTN oleh ibu atau bapa untuk anak-anak mereka.  Setiap deposit samada dari ibu atau bapa sehingga RM2,000 ke dalam Akaun PTPTN boleh mendapat cukai relief.  Cara ini bukan saja dapat menambahkan dana PTPTN, tetapi ianya boleh memberi manafaat cukai relief kepada ibu atau bapa atau kedua-dua dan pada masa yang sama juga dapat membantu pelajar-pelajar meneruskan pendidikan tinggi dan melahirkan  Rakyat berilmu.

Oleh itu, saya mendesak PTPTN harus mengambil tindakan pro-aktif dalam memastikan pinjaman pendidikan ini diteruskan tanpa potongan amaun pinjaman, dan sebaliknya PTPTN harus menambah amaun pinjaman dengan mengambil kira kadar inflasi.

Saya juga ingin menyarankan kepada PTPTN supaya sentiasa ingat dan berpegang kepada tema “Walaupun kita miskin, kita tidak boleh abaikan pendidikan”.  Pendidikan adalah nadi masa depan negara dan masyarakat.  Oleh itu, PTPTN harus mengambil langkah untuk membetulkan polisi pengurangan amaun pinjaman demi masa depan Rakyat dan negara.


No comments:

Post a Comment